Saturday, April 6, 2013

Mengenali orang-orang yang benar

Mengenali orang-orang yang benar

Perkara yang paling membahayakan di akhir zaman ini ialah apabila orang-orang menganggap bahawa kebenaran itu datang daripada tokoh-tokoh tertentu dan hanya akan menerimanya jika ia datang dari mereka.

Diriwayatkan para salaf selalu berpesan, إن الحق لا يعرف بالرجال، اعرف الحق تعرف أهله 'Sesungguhnya kebenaran itu tidak dikenali dengan orangnya tetapi kenalilah kebenaran maka nescaya kamu akan mengetahui siapakah orang-orang yang benar.' [Al-Adab al-shariyya oleh Ibn Muflih]

Kebenaran itu ialah apa yang datang daripada al-Quran dan as-sunnah. Hanya dengan mempelajari al-Quran, hadith dan ilmu-ilmu Islam maka barulah seseorang itu memiliki asas untuk menilai yang betul dan dapat mengetahui siapakah yang menetap di atas al-Quran dan as-sunnah dan siapakah orang yang menyelisihinya. Siapakah yang boleh diikut dan siapakah yang harus ditinggalkan.

Imam al-Bukhari rahimahullah meletakkan bab yang cukup jelas dalam hal ini bertajuk : بَاب الْعِلْمُ قَبْلَ الْقَوْلِ وَالْعَمَلِ 'Bab ilmu sebelum perkataan atau amal.'

Mereka yang tidak belajar al-Quran, hadith dan ilmu-ilmu Islam akan selamanya mengikut agama para tokoh mereka lalu benar dan salah, tenggelam atau timbul mereka itu adalah bersama tokoh tersebut. Apabila dikatakan sesuatu itu menyalahi hadith mereka akan berkata : Tok guru tak cakap pun, ustaz tak kata pun kalau salah mesti dia cakap atau tegur.

Apabila dianjurkan sesuatu amalan dari sunnah maka mereka menjawab, kami hanya ikut apa yang tok guru/tok syeikh/ustaz atau syeikh cakap dan beritahu. Dia suruh maka kami akan ikut, kalau dia tak kata apa maka kami pun tak berani nak memandai-mandai buat. Dia lebih tahu tentang al-Quran dan sunnah dari kami.

Nabi Salallahualaihiwassalam bersabda : من يُرد الله به خيراً يفقهه في الدين 'Barangsiapa yang Allah mengkehendaki kebaikan kepadanya maka dia akan difahamkan dengan perkara agama.' [riwayat al-Bukhari dan Muslim]

No comments:

Post a Comment