Saturday, September 15, 2012

Apakah Yang Dimaksudkan Pergerakan yang Membatalkan Solat


Tidak semua jenis pergerakan membatalkan solat, namun yang pasti adalah mengurangkan pergerakan yang tidak berkaitan dengan solat adalah cara terbaik bagi menyempurnakannya. Pun begitu, bagaimanakah erti bergerak yang membatalkan solat di dalam mazhab Syafie? Tulisan ini menjelaskan dengan ringkas.
Tamakninah adalah salah satu rukun dalam solat menurut beberapa mazhab dan mazhab Syafie adalah antara yang berijtihad menyatakan solat boleh batal jika bergerak besar berturut-turut melebihi tiga kali gerakan. Ini berdasarkan dalil perlunya tamakninah. Tiada dalil khusus berkenaan hal ini kecuali dalil umum iaitu keperluan untuk menyempurnakan tamakninah yang disebut oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam kpeada seorang lelaki yang disuruh ulangi solatnya kerana tidak betul:
فَارْجِعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ ……ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَسْتَوِيَ قَائِمًا ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا
Maksudnya: “ ulangi solatmu dan solatlah sessunghuhnya engkau belum menyempurnakan solatmu……kemudian hendaklah kamu rukuk dan sehingga berhenti sekejap (tamakninah) dalam keadaan rukuk itu, dan kemudian bangun dan berdiri tegak dan kemudian sujud sehingga berhenti sekejap (tamakninah) dalam keadaan sujud.”
(Riwayat al-Bukhari)

Tamakninah adalah rukun menurut tiga mazhab dan wajib dalam mazhab Hanafi. Hasil dari itu, penyempurnaan tamakninah dilihat tidak mampu disempurnakan kecuali dengan menahan diri dan pergerakn besar menurut mazhab Syafie.
Imam An-Nawawi menjelaskan penentuan sesuatu pergerakan itu ‘Besar’ atau ‘Kecil’ mempunyai empat bentuk pandangan dalam mazhab seperti berikut:-
  1. KECIL : adalah yang tidak sampai tempoh pergerakan itu satu raka’at. BESAR: Jika melebihi, pastinya itu dikira besar dan membatalkan solat.
  2. KECIL : Setiap pergerakan yang tidak memerlukan dua belah tangan, seperti mengangkat serban, menyentuh untuk lantikan imam di hadapan, memegang kepala atau telinga, itu semua dianggap kecil. BESAR: Jika pergerakan itu memerlukan dua belah tangan seperti mengikat serban, memakai seluar atau kain, itu semua dikira besar.
  3. KECIL : pergerakan yang tidak membuat orang yang melihat bersangka si pelakunya di luar solat. BESAR : pergerakan yang menyebabkan orang melihat bersangka pelakunya di luar solat.
  4. KECIL : kembali kepada penentuan adat dan uruf setempat yang pada adatnya masyarakat anggapnya kecil. BESAR : juga berdasarkan adat. Imam An-Nawawi menyebut pandangan yang keempat ini yang paling sahih dan pandangan ulama Syafie yang teramai. Kata beliau
وهو الأصح وقول الأكثرين
Ertinya : ini yang paling sahih dan merupakan pendapat teramai.[1]
Kemudian, Imam An-Nawawi jug menyimpulkan jika dua kali pergerakan besar ia masih tidak membatalkan solat, jika tidak berturut-turut, itu juga tidak membatalkan solat.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, saya cenderung kepada menyarankan agar memastikan tidak bergerak banyak sama ada besar atau kecil adalah sifat solat sempurna. Namun jika pergerakan kerana dharurat yang diterima oleh Islam seperti mengelak bahaya, mengelak api dan sepertinya ia tidak membatalkan solat. Majoriti mazhab lain seperti Hanbali dan Hanafi tidak ada kaedah yang menyatakan pergerakan banyak akan membatalkan solat dan fatwa dan ijtihad mereka tentunya tidak boleh diketepikan begitu sahaja, hasilnya saya suka menasihatkan agar mengelakkan khilaf, dan jika berlaku pegerakan yang banyak berturut-turut dan masih ada waktu untuk mengulangi solat, sebaiknya solat dianggap batal dan diulangi.
Sekian

Dr. Zaharuddin Abd Rahman
10 Sept 2012

[1] Raudah at-Tolibin, cetakan Dar Ibn Hazm, Beirut 2002 , hlm 131 :

Jangan Keliru !!


Fiqh muamalat bukanlah terhad kepada hukum-hakam di dalam urusan kewangan semata-mata tetapi ia tercabang kepada seluruh urusan di antara manusia sesama mereka.
Justeru, urusan politik (siyasah), pentadbiran, nikah kahwin (munakahat), hukum jenayah, cara dakwah serta akhlak juga terkandung di dalam bab fiqh muamalat. Muamalat ini juga boleh diklasifikasikan dalam bab ‘Al-Adat’. Sheikh al-Islam Ibn Taymiah berkata :
تصرفات العباد من الأقوال والأفعال نوعان : عبادات يصلح بها دينهم وعادات يحتاجون إليها في دنياهم
Ertinya : Urusan hamba (manusia) seluruhnya sama ada perkataan dan perbuatan itu boleh diklasifikasikan kepada dua jenis : Ibadah yang baik untuk agama mereka dan hal adat yang diperlukan oleh manusia untuk urusan dunia mereka (Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah Al-Nuraniyyah, hlm 111)
APAKAH KESAN TERHADAP PEMBAHAGIAN DAN KEFAHAMAN INI?
Sebagaimana yang disepakati oleh jumhur ulama silam dan kontemporari, urusan hukum dalam bab fiqh Ibadah adalah agak terhad dan terikat dengan dalil yang specifik (khusus) dan sebahagian dalil umum. Apapun ia mesti mempunyai dalil yang jelas. Sebagaimana kaedah yang dipersetujui oleh para ulama menyebut:-
الأصل في العبادة التوقف
Ertinya : Hukum panduan (asal) bagi urusan ibadah adalah tawaqquf (berhenti dari mencipta, mesti datang dari dalil) (Rujuk kaedah ini dalam, Ibn Hajar, Fath Al-Bari, 3/54 ; Ibn Mufleh, Al-Adab Al-Syar’iyyah, 2/265 ; Al_Zarqani, Syarah Al-Muwatta’, 1/434 ; Al-Syawkani, Naylul Awtar, 2/20)
Syeikhuna Al-Imam Dr. Yusuf Al-Qaradawi pula mengulas lanjut berkenaan displin hukum dalam bab ibadah dengan menjelaskan ciri sesebuah ibadah khusus itu dengan dua kaedah :
ألا يعبد إلا الله
Ertinya : Tiada yang layak diabdikan diri kepadanya kecuali Allah ( ertinya niat mestilah kerana Allah)
ألا يعبد إلا بما شرع
Ertinya : Tiada ibadah kecuali yang disyari’atkan ( mestilah bersumber secara specific atau umum dari nas dalil al-Quran dan hadith).
Hasilnya tidak dibenarkan untuk sesiapa di kalangan manusia, mencipta apa jua bentuk ibadah baru yang tidak didasari oleh dalil. Bukan itu sahaja, malah semua ibadah itu mestilah disandarkan kepada dalil dengan cara istidlal dan istinbad yang sohih.
Petikan asal : Zaharuddin.net

Celaan Terhadap Ketaksuban


al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) :
“Yang lebih pelik dari semua itu adalah sikap kamu wahai golongan taklid!. Kamu ini jika mendapati ayat al-Quran yang bersesuai dengan mazhab kamu, maka kamu akan terima apa yang jelas dari ayat itu dan berpegang kepadanya. Teras kamu dalam perkara berkenaan ialah pendapat mazhab kamu, bukan ayat tersebut. Jika kamu dapati ayat lain yang setanding dengannya menyanggahi pendapat mazhab kamu, kamu tidak akan menerimanya. Kamu akan cuba membuat berbagai takwilan dan mengeluarkannya dari maksudnya yang jelas, kerana tidak bersesuaian dengan mazhab kamu. Inilah juga yang kamu lakukan kepada nas-nas al-Sunnah. Jika kamu dapati satu hadis yang sahih bersesuaian dengan mazhab kamu, kamu menerimanya. Kamu kata “kami ada sabda Nabi s.a.w. begini dan begitu”. Jika kamu dapati seratus atau lebih hadith sahih yang berbeza dengan mazhab kamu, kamu tidak pandang kepadanya, walaupun sedikit..”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in, 2/195, Beirut: Dar al-Fikr).

Syeikh Dr Ihsan Ilahi Zahir

Syeikh Dr Ihsan Ilahi Zahir, Ulama dan Pejuang Sunnah.
Syeikh Dr Ihsan Ilahi Zahir dilahirkan pada hari Khamis,31 Mei 1945 M / 18 Jamadil Awal 1364 H di Sialkot, India.
Merupakan salah seorang murid kepada ulama hadith terkenal abad ini iaitu Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani.Memperoleh gelaran LC dari Universiti Islam Madinah.Beliau juga merupakan diantara ulama yang kuat menentang, membongkar serta menjawab syubhat Syiah.
Guru-guru beliau:
antaranya
1) Syeikh MUhammad Nasiruddin al-Albani
2) Syeikh Muhammad amin Syinqiti
3) Syeikh Abdul Aziz bin Baz
4) Syeikh Abdul Muhsin al-Abbad
5) Syeikh Abdul Qadir Hamd Haybatul
6) Syeikh Abul Barkat Ahmad
7) Syeikh Jandalawi Muhammad Hafiz
8) Syeikh Atiyyah Muhammad Salim
Karya-karya beliau:
1) Asy-Syiah was Sunnah
2) Asy-Syiah wa Ahlul Bait
3) Asy-Syiah wa At-Tasayyu
Wafat :
Dibunuh dengan menggunakan bom ketika beliau menyampaikan pidato mengenai sirah Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam di sebuah masjid di Lahore, Pakistan disaat pertemuan para ulama ahli hadith pada 23 Mac 1987 M/ 23 Rejab 1407 H. waktu 11 malam.
Sumber: Biografi Ulama Sunnah India, Muhammad Abdullah Suradi.
Jahabersa.

Syeikh Badiuddin As-Sindi



Syeikh Badiuddin As-Sindi,Ulama Hadith Dan Pembela Sunnah 
Syeikh Badiuddin As-Sindi dilahirkan pada 10 Julai 1925/1342 H di Hydrabad, Pakistan.
Guru-guru beliau:
antaranya
1) Syeikh Muhammad Ismail
2) Syeikh MUhammad Madani
3) Syeikh Muhibullah Syah Rasyidi
4) Abu Muhammad Abdul Haq al-Bawalpuri Makki Muhaajar
5) Wafaa Abdul Thanaullah Amritsari
6) Raupuri Abdullah
7) Abu Said Syarifuddin Dahlawi, muhaddith pada masanya.
Murid-murid beliau:
antaranya
1) Syeikh Muqbil bin Hadi Wadi’i
2) Syeikh Rabi bin al-Madhkali Hadi
3) Syeikh Salim bin Eid al-Hilali
4) Syeikh Hasan al-Halabi
5) Syeikh Abdullah Nasir Rehmani
6) Syeikh Syamsuddib Afghani
7) Syeikh Abbas Wasiullah
8) Syeikh Muhammad Musa
Juga 3 orang anaknya:
9) Syeikh Sayyid Muhammad Syah Rasyidi
10) Syeikh Sayyid Syah Rasyidi Nurullah
11) Syeikh Sayyid Syah Rasydullah Rasyidi
Wafat :
 Syeikh Badiuddin wafat pada bulan Januari 1996/1416 H. Semoga Allah mengasihinya. Amin.
Sumber: Biografi Ulama Sunnah India, Muhammad Abdullah Suradi.
             Jahabersa.