Thursday, July 12, 2012

Nasihat untuk Ku


Nasihat ikhwah Salafi
*buat diriKU

Sabtu lepas, aku pulang dari Arab Saudi setelah lebih seminggu di sana. Alhamdulillah, aku berjaya mendapatkan beberapa kitab yang diperlukan untuk menambahkan ilmu dan kefahaman tentang agama. Dari sana juga, aku membawa pulang banyak pengalaman yang amat berharga untuk diri dan umat Islam sekalian.

Tetapi, bukan catatan tentang itu hendak ditulis pada kali ini tetapi sesuatu yang teramat penting iaitu nasihat untuk sahabat-sahabat yang memilih Salafiyyah sebagai manhaj dalam beragama. Lama sudah hati ini ingin meluahkan kata-kata untuk kebaikan bersama namun baru sekarang jari-jemari ini dapat menjamah papan kekunci untuk itu. Semoga nasihat-nasihat daripada saudara kalian ini dibaca dan difahami.

Sahabat-sahabat Salafiku,
Kalian sepatutnya bersyukur kepada Allah ‘azza wa jalla dengan setinggi-tinggi kesyukuran di atas taufik dan hidayat-Nya yang telah membawa kalian ke jalan yang diberkati ini. Berada di atas manhaj yang benar warisan Rasulullah, para sahabat, dan ulama-ulama silam adalah nikmat yang tidak terhingga. Dalam ramai-ramai umat Islam, hanya sedikit yang dipilih untuk melalui jalan ini. Dengarkan kata-kata Yunus bin ‘Ubaid, seorang tabiin kecil “tidak ada sesuatu pun yang lebih asing daripada sunnah dan lebih asing lagi adalah orang yang mengenalinya.” [Diriwayatkan oleh al-Lalaka’i dalam Syarh Ushul I’tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut; cet. pertama 1423 H, jil. 1, hal. 32]

Salafiyyah adalah manhaj yang benar dan kebenarannya tidak dapat disangkal oleh sesiapapun. Hujah-hujah dan bukti kebenaran bagi banyak pegangan Salafiyyah terang benderang bak matahari membuatkan lawan gentar. Musuh berusaha sedaya upaya untuk mengalahkan Salafiyyah malah kadang-kadang terpaksa melakukan jenayah ilmiah untuk menghadapi kemaraan bala tentera hujah Salafiyyah.

Keadaan ini telah menyebabkan sebahagian daripada Salafiyyah terutamanya golongan yang baru mengenalinya berasa bangga dan besar diri. Mereka berbicara dengan angkuh sekali. Mentang-mentanglah al-Quran dan sunnah menyokong kata-katanya, mereka pun menjadikan kesalahan dan kesilapan orang untuk menunjukkan kehebatan diri. Hidupnya dipenuhi dengan membaca buku-buku untuk menjawab hujah lawan. Pelbagai bidasan dipelajarinya daripada ustaz-ustaz dan tokoh-tokoh mereka. Mereka mencari kemegahan di atas nama Salafiyyah.

Kepada sahabat-sahabat Salafiku yang merasakan diri mereka menghidapi penyakit tersebut, aku nasihatkan supaya kembalilah kepada jalan Allah yang hakiki. Kita mempertahankan pegangan kita dan membelanya bukan untuk berdiri megah di hadapan manusia dan tidak pula untuk menghina orang-orang yang tidak kita sukai tetapi kerana tugas kita sebagai orang yang dianugerahkan kebenaran untuk disampaikan kepada manusia dan mempertahankannya apabila dicaci dan dihina.

Ibnu Hibban telah meriwayatkan dalam Shahihnya daripada Jabir bin ‘Abd Allah bahawa Rasulullah shallahu’alaihiwasallam bersabda:
لَا تَعَلَّمُوا الْعِلْمَ لِتُبَاهُوا بِهِ الْعُلَمَاءَ وَلَا تُمَارُوا بِهِ السُّفَهَاءَ وَلَا تخيَّروا بِهِ الْمَجَالِسَ فَمَنْ فَعَلَ ذلك فالنار النار
Ertinya: janganlah kalian mempelajari ilmu untuk bermegah-megah di hadapan ulama, jangan pula untuk berdebat dengan orang-orang yang bodoh, dan jangan juga memilih-milih majlis ilmu (atau: meramaikan majlismu); sesiapa melakukannya, neraka, neraka. [Ibnu Majah (254), Ibnu Hibban (77), dan lain-lain]

Sahabat-sahabat Salafiku,
Dustur pegangan Salafiyyah adalah al-Quran dan sunnah. Mana-mana pendapat yang menepati kedua-duanya adalah benar dan wajib diikuti manakala yang menyalahinya adalah salah dan wajib dihindari. Perkara ini kerap diulang-ulang oleh para masyaikh Salafiyyah. Oleh itu, berpegang teguhlah kalian dengan pendirian ini. Jangan sesekali taasub dengan mana-mana tokoh walaupun tokoh itu adalah Imam Ahmad, Ibnu Taimiyah, mahupun al-Albani.

Kita tidak boleh melarang orang lain daripada taasub kepada mazhab Asya’irah mahupun Matudiriyyah ataupun kepada mazhab Syafi’i mahupun Hanafiyyah tetapi dalam masa yang sama kita taasub kepada pendapat-pendapat seseorang tokoh Salafiyyah membabi buta. Kita memegang erat sesuatu pendapat bukan kerana pendapat itu pendapat Salafiyyah atau pendapat ulama-ulama kesayangan tetapi kerana kebenaran pendapat tersebut berdasarkan petunjuk al-Quran dan sunnah.

Sahabat-sahabat Salafiku,
Janganlah kalian memilih sebahagian pendapat Salafiyyah untuk dipegang sementara sebahagian lagi kalian ketepikan hanya kerana hawa nafsu. Aku lihat, ramai yang bermati-matian mempertahankan Salafiyyah dalam masalah bid’ah,tawassul, dan seumpamanya tetapi dalam masalah-masalah lain, mereka sendiri yang menyalahi Salafiyyah.

Salafiyyah adalah manhaj yang meneladani jalan hidup Rasulullah shallahu’alaihiwasallam dan peringkat-peringkat awal. Mengamalkan sunnah dan menolak bid’ah adalah syiar Salafiyyah. Tetapi, mengapa kalian kurang sekali menegakkan sunnah tetapi bersungguh-sungguh sekali menolak bid’ah? Di sisi Salafiyyah, mengerjakan solat berjemaah di masjid adalah wajib, mendengar lagu adalah haram, begitu juga dengan menonton televisyen tetapi mengapa pendapat-pendapat tersebut tidak diendahkan oleh kalian?

Sahabat-sahabat Salafiku,
Aku nasihatkan kalian supaya bersungguh-sungguh untuk menyebarkan dakwah kepada umat Islam seluruhnya. Aku tidak hanya maksudkan dakwah melawan syirik,bid’ah, khurafat, dan sebagainya yang telah menjadi kelaziman Salafiyyah tetapi dakwah yang lebih luas, dakwah kepada Islam yang sebenar. Kita seru umat Islam untuk mengamalkan Islam sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullahshallahu’alaihiwasallam dan sahabat-sahabat baginda. Alangkah jauhnya kita dari Salafiyyah yang sebenar. Alangkah jauhnya umat Islam dari Islam sebenar!