Saturday, September 15, 2012

Jangan Keliru !!


Fiqh muamalat bukanlah terhad kepada hukum-hakam di dalam urusan kewangan semata-mata tetapi ia tercabang kepada seluruh urusan di antara manusia sesama mereka.
Justeru, urusan politik (siyasah), pentadbiran, nikah kahwin (munakahat), hukum jenayah, cara dakwah serta akhlak juga terkandung di dalam bab fiqh muamalat. Muamalat ini juga boleh diklasifikasikan dalam bab ‘Al-Adat’. Sheikh al-Islam Ibn Taymiah berkata :
تصرفات العباد من الأقوال والأفعال نوعان : عبادات يصلح بها دينهم وعادات يحتاجون إليها في دنياهم
Ertinya : Urusan hamba (manusia) seluruhnya sama ada perkataan dan perbuatan itu boleh diklasifikasikan kepada dua jenis : Ibadah yang baik untuk agama mereka dan hal adat yang diperlukan oleh manusia untuk urusan dunia mereka (Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah Al-Nuraniyyah, hlm 111)
APAKAH KESAN TERHADAP PEMBAHAGIAN DAN KEFAHAMAN INI?
Sebagaimana yang disepakati oleh jumhur ulama silam dan kontemporari, urusan hukum dalam bab fiqh Ibadah adalah agak terhad dan terikat dengan dalil yang specifik (khusus) dan sebahagian dalil umum. Apapun ia mesti mempunyai dalil yang jelas. Sebagaimana kaedah yang dipersetujui oleh para ulama menyebut:-
الأصل في العبادة التوقف
Ertinya : Hukum panduan (asal) bagi urusan ibadah adalah tawaqquf (berhenti dari mencipta, mesti datang dari dalil) (Rujuk kaedah ini dalam, Ibn Hajar, Fath Al-Bari, 3/54 ; Ibn Mufleh, Al-Adab Al-Syar’iyyah, 2/265 ; Al_Zarqani, Syarah Al-Muwatta’, 1/434 ; Al-Syawkani, Naylul Awtar, 2/20)
Syeikhuna Al-Imam Dr. Yusuf Al-Qaradawi pula mengulas lanjut berkenaan displin hukum dalam bab ibadah dengan menjelaskan ciri sesebuah ibadah khusus itu dengan dua kaedah :
ألا يعبد إلا الله
Ertinya : Tiada yang layak diabdikan diri kepadanya kecuali Allah ( ertinya niat mestilah kerana Allah)
ألا يعبد إلا بما شرع
Ertinya : Tiada ibadah kecuali yang disyari’atkan ( mestilah bersumber secara specific atau umum dari nas dalil al-Quran dan hadith).
Hasilnya tidak dibenarkan untuk sesiapa di kalangan manusia, mencipta apa jua bentuk ibadah baru yang tidak didasari oleh dalil. Bukan itu sahaja, malah semua ibadah itu mestilah disandarkan kepada dalil dengan cara istidlal dan istinbad yang sohih.
Petikan asal : Zaharuddin.net

No comments:

Post a Comment