Showing posts with label Fiqh Sunnah. Show all posts
Showing posts with label Fiqh Sunnah. Show all posts

Saturday, September 15, 2012

Apakah Yang Dimaksudkan Pergerakan yang Membatalkan Solat


Tidak semua jenis pergerakan membatalkan solat, namun yang pasti adalah mengurangkan pergerakan yang tidak berkaitan dengan solat adalah cara terbaik bagi menyempurnakannya. Pun begitu, bagaimanakah erti bergerak yang membatalkan solat di dalam mazhab Syafie? Tulisan ini menjelaskan dengan ringkas.
Tamakninah adalah salah satu rukun dalam solat menurut beberapa mazhab dan mazhab Syafie adalah antara yang berijtihad menyatakan solat boleh batal jika bergerak besar berturut-turut melebihi tiga kali gerakan. Ini berdasarkan dalil perlunya tamakninah. Tiada dalil khusus berkenaan hal ini kecuali dalil umum iaitu keperluan untuk menyempurnakan tamakninah yang disebut oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam kpeada seorang lelaki yang disuruh ulangi solatnya kerana tidak betul:
فَارْجِعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ ……ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَسْتَوِيَ قَائِمًا ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا
Maksudnya: “ ulangi solatmu dan solatlah sessunghuhnya engkau belum menyempurnakan solatmu……kemudian hendaklah kamu rukuk dan sehingga berhenti sekejap (tamakninah) dalam keadaan rukuk itu, dan kemudian bangun dan berdiri tegak dan kemudian sujud sehingga berhenti sekejap (tamakninah) dalam keadaan sujud.”
(Riwayat al-Bukhari)

Tamakninah adalah rukun menurut tiga mazhab dan wajib dalam mazhab Hanafi. Hasil dari itu, penyempurnaan tamakninah dilihat tidak mampu disempurnakan kecuali dengan menahan diri dan pergerakn besar menurut mazhab Syafie.
Imam An-Nawawi menjelaskan penentuan sesuatu pergerakan itu ‘Besar’ atau ‘Kecil’ mempunyai empat bentuk pandangan dalam mazhab seperti berikut:-
  1. KECIL : adalah yang tidak sampai tempoh pergerakan itu satu raka’at. BESAR: Jika melebihi, pastinya itu dikira besar dan membatalkan solat.
  2. KECIL : Setiap pergerakan yang tidak memerlukan dua belah tangan, seperti mengangkat serban, menyentuh untuk lantikan imam di hadapan, memegang kepala atau telinga, itu semua dianggap kecil. BESAR: Jika pergerakan itu memerlukan dua belah tangan seperti mengikat serban, memakai seluar atau kain, itu semua dikira besar.
  3. KECIL : pergerakan yang tidak membuat orang yang melihat bersangka si pelakunya di luar solat. BESAR : pergerakan yang menyebabkan orang melihat bersangka pelakunya di luar solat.
  4. KECIL : kembali kepada penentuan adat dan uruf setempat yang pada adatnya masyarakat anggapnya kecil. BESAR : juga berdasarkan adat. Imam An-Nawawi menyebut pandangan yang keempat ini yang paling sahih dan pandangan ulama Syafie yang teramai. Kata beliau
وهو الأصح وقول الأكثرين
Ertinya : ini yang paling sahih dan merupakan pendapat teramai.[1]
Kemudian, Imam An-Nawawi jug menyimpulkan jika dua kali pergerakan besar ia masih tidak membatalkan solat, jika tidak berturut-turut, itu juga tidak membatalkan solat.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, saya cenderung kepada menyarankan agar memastikan tidak bergerak banyak sama ada besar atau kecil adalah sifat solat sempurna. Namun jika pergerakan kerana dharurat yang diterima oleh Islam seperti mengelak bahaya, mengelak api dan sepertinya ia tidak membatalkan solat. Majoriti mazhab lain seperti Hanbali dan Hanafi tidak ada kaedah yang menyatakan pergerakan banyak akan membatalkan solat dan fatwa dan ijtihad mereka tentunya tidak boleh diketepikan begitu sahaja, hasilnya saya suka menasihatkan agar mengelakkan khilaf, dan jika berlaku pegerakan yang banyak berturut-turut dan masih ada waktu untuk mengulangi solat, sebaiknya solat dianggap batal dan diulangi.
Sekian

Dr. Zaharuddin Abd Rahman
10 Sept 2012

[1] Raudah at-Tolibin, cetakan Dar Ibn Hazm, Beirut 2002 , hlm 131 :

Sunday, March 18, 2012

2) TAKBIRATUL IHRAM , Fiqh Sunnah Sayyid Sabiq

2) TAKBIRATUL IHRAM

Dalilnya hadis Ali Radhiyallahu’anhu,bahawa:

لحديث علي أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: (مفتاح الصلاة الطهور، وتحريمها التكبير، وتحليلها التسليم) رواه الشافعي وأحمد وأبو داود وابن ماجه والترمذي، وقال: هذا أصح شئ في هذا الباب وأحسن، وصححه الحاكم وابن السكن

Ertinya: ‘’ Nabi Shallallahu’alaihi wa Sallam bersabda : ‘Kunci solat ialah bersuci, pembukaannya membaca takbir dan penutupnya adalah membaca salam.’’[1]

(Diriwayatkan oleh asy-Syafi’i, Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah dan at-Tirmizi. Beliau berkata ‘Hadis ini merupakan hadis paling sahih dan paling baik dalam masalah ini.’ Al-Hakim dan Ibnu as-Sakan turut menyatakan kesahihan hadis ini)

Takbiratul ihram merupakan antara fardhu solat berdasarkan perbuatan serta perkataan Nabi Shallallahu’alaihi wa Sallam sebagaimana yang telah dihuraikan dalam dua hadis sebelum ini. Takbiratul ihram ini hanya dapat dilakukan dengan membaca lafaz ‘الله أكبر’ sahaja. Dalilnya hadis Abu Humaid, bahawa :

أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا قام إلى الصلاة اعتدل قائما ورفع يديه ثم قال: (الله أكبر) ، رواه ابن ماجه، وصححه ابن خزيمة وابن حبان


Ertinya: ‘’Apabila Nabi Shallallahu’alaihi wa Sallam berdiri hendak mengerjakan solat, beliau berdiri tegak dan mengangkat kedua-dua belah tangannya lalu mengucapkan ‘Allahu Akbar’
(Diriwayatkan oleh Ibnu Majah. Disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)[2]

Disamping itu, terdapat satu lagi hadis yang dikeluarkan oleh al-Bazzar dengan sanad yang sahih berdasarkan syarat Muslim, dari Ali Radhiyallahu’anhu :

أنه صلى الله عليه وسلم كان إذا قام إلى الصلاة قال: (الله أكبر )

Ertinya: ‘’Apabila Nabi Shallallahu’alaihi wa Sallam berdiri hendak mengerjakan solat, maka beliau mengucapkan ‘Allahu Akbar’ ‘’ [3]

Demikian pula pada hadis ‘al-Musi’ fi Shalatih’ yang diriwayatkan ole hath-Thabrani dinyatakan : ‘’Kemudian dia membaca ‘Allahu Akbar’’.


[1] Diriwayatkan oleh Abu Daud dalam kitab :ath-Thaharah (kitab: Bersuci), bab : Fardh al- Wudhu’ (bab :Fardhu Wuduk) , jil: 1, hlm :15

at-Tirmizi dalam Abwab ath-Thaharah (himpunan Bab Bersuci), bab : Ma Ja’a anna Miftah ash-Shalah ath-Thuhur (bab: Kunci Solat adalah Bersuci): (3), jil :1, hlm:9

Musnad Ahmad, jil 1,hlm 123

ad-Darimi dalam kitab : ash-Shalah wa ath-Thaharah (Kitab :Solat dan Bersuci), bab :Miftah ash-Shalah ath-Thuhur (bab :Kunci Solat adalah Bersuci), jil :1, hlm :140-141 al-Albani mengklasifikasikannya sebagai sahih dalam Shahih Abu Daud.

[2] Diriwayatkan oleh Ibnu Majah dalam kitab: al-Iqamah (kitab : Mendirikan Solat), bab :Ifitah ash-Shalah (Bab : Pembukaan Solat ) : (803) , jil:1 , hlm : 364 ; Mawarid adh-Dham’an : (442), hlm 123.

Dalam Fath ar-Rabbani dinyatakan bahawa hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan diklasifikasikan sebagai sahih oleh Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban, jil:2, hlm : 217

الله أكبر [3]Dalam Fath al-Bari dinyatakan bahawa hadis ini diriwayatkan dengan menggunakan lafaz dan diriwayatkan oleh al-Bazzar dengan sanad sahih mengikut syarat Muslim dari Ali bahawa Nabi Shallallahu’alaihi wa Sallam apabila berdiri hendak mengerjakan solat, beliau membaca ‘Allahu Akbar’ . Jil:2 , hlm: 217 dan Irwa’ al-Ghalil : (289)

Friday, March 16, 2012

1) NIAT, Fiqh Sunnah Sayyid Sabiq

1)NIAT:
(Sebahagian ulama menganggap sebagai syarat, bukan rukun)

Dalilnya firman Allah Taala :

وما أمروا إلا ليعبدوا الله مخلصين له الدين
‘’Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadanya, lagi tetap di atas tauhid...’’Surah al-Baiyinah;5

Sabda Rasulullah :
إنما الاعمال بالنيات، وإنما لكل امرئ ما نوى، فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله . ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة ينكحها فهجرته إلى ما هاجر إليه رواه البخاري

‘’ Sesungguhnya segala perbuatan bergantung kepada niat. Setiap orang akan memperoleh pahala mengikut kepada apa yang telah diniatkan. Oleh yang demikian, sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah demi meraih keuntungan duniawi atau perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu akan meraih apa yang telah diniatkannya itu’’ ) HR Bukhari

Dalam buku Ighatsah al-Lahfan,Ibnu Qayyim berkata: ’’Erti niat adalah bersengaja dan bermaksud secara bersungguh-sungguh untuk melakukan sesuatu.Tempatnya ialah di dalam hati dan ia tidak ada sangkut pautnya sama sekali dengan penuturan lisan.

Oleh itu, tidak ada satu hadith pun yang menunjukkan Rasulullah dan para sahabat pernah melafazkan niat.

Penuturan lafaz sebelum berwudhuk dan solat akan member peluang kepada syaitan untuk mengganggu dan dan menanam perasaan was-was dalm diri seseorang.Tujuannya adalah untuk mengganggu dan menyeksa kaum muslim sentiasa menderita dalam keraguan sehingga membuatkan seseorang itu jemu akan niatnya yang tidak pernah sempurna,was-was dan ragu-ragu serta menimbulkan keraguan dan kemudian meninggalkan perbuatan amal ibadah secara keseluruhannya.Hakikatnya, ramai yang mengalami penyakit seumpama ini.Mereka mnyusahkan diri untuk melafazkan niat, padahal ia sebenarnya sesuatu yang penting dalam solat.

Fardhu-Fardhu Solat ,Fiqh Sunnah Sayyid Sabiq

Fardhu-fardhu solat

Solat mempunyai rukun dan fardhu yang wajib dipatuhi sehingga solat dikerjakan mengikut peraturan dan ketentuan yang betul, sehingga apabila tertinggal salah satu daripadanya, maka hakikat solat tersebut tidak mungkin tercapai dan solat itu pun dianggap tidak sah menurut syarak.

1)
NIAT

2)
TAKBIRATUL IHRAM

3)BERDIRI KETIKA MENGERJAKAN SOLAT FARDHU
1-Berdiri Ketika Mengerjakan Solat Sunat
2-Tidak Mampu Berdiri Ketika Mengerjakan Solat Fardhu

4)MEMBACA AL-FATIHAH pada setiap rakaat ketika mengerjakanSolat Fardhu dan Solat Sunat
1-Basmalah
2-Orang yang Tidak Dapat membaca al-Fatihah

5)RUKUK
1-Bilakah rukuk itu dikatakan Sempurna ?

6)BANGKIT dari RUKUK dan BERDIRI TEGAK (i’tidal) disertai THUMA’NINAH

7)SUJUD
1-Batasan Thuma’ninah
2-Anggota-anggota Sujud

8)DUDUK TAHIYAT AKHIR dan MEMBACA TASYAHUD
1-Bacaan Tasyahud Mengikut Hadis Sahih

9)MEMBERI SALAM
1-Wajib Membaca Salam Pertama dan Sunat Membaca Salam Kedua