Saturday, June 23, 2012
Menjadi Hamba Yang Bersyukur
Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memberi kepada kita nikmat yang terlalu besar dan banyak. Bahkan nikmat yang tidak ternilai harganya. Nikmat hidup, nikmat udara, nikmat air, nikmat makanan, nikmat kesihatan, nikmat ilmu, dan selainnya. Termasuk di dalamnya adalah nikmat keamanan dan kemerdekaan. Manakala nikmat yang paling besar adalah nikmat Islam dan iman.
Maka bersyukurlah kita dengan nikmat-nikmat Allah tersebut. Kerana syukur adalah sebahagian dari tujuan penciptaan dan perintah-Nya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu apa pun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan, dan al-af’idah (akal dan hati) agar kamu bersyukur.” (Surah an-Nahl, 16: 78)
Allah Ta’ala menjelaskan bahawa salah satu tanda syukur adalah dengan mengabdikan diri kepada-Nya, iaitu mentauhidkan-Nya. Sesiapa yang tidak mensyukuri nikmat-nikmat-Nya, maka dia belum benar-benar mentauhidkan-Nya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika benar-benar kamu mentauhidkan-Nya.” (Surah al-Baqarah, 2: 172)
Allah Subhanahu wa Ta’ala juga telah mewahyukan kepada para Nabi dengan perkara yang serupa, berupa perintah mentauhidkan-Nya dan perintah supaya bersyukur. Allah berfirman:
“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada (nabi-nabi) yang sebelum kamu. Jika kamu mensyirikkan Allah, nescaya akan terhapuslah amalan kamu dan sudah tentu kamu termasuk orang-orang yang rugi. Oleh itu, hendaklah Allah sahaja yang kamu sembah dan hendaklah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur.” (Surah az-Zumar, 39: 65-66)
Tipu Daya Iblis
Ketika musuh Allah iaitu Iblis mengetahui kedudukan, keagungan, dan ketinggian sifat syukur maka ia pun berusaha untuk menjauhkan manusia dari sikap syukur tersebut. Ia berkata sebagaimana yang disebutkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam al-Qur’an:
“Kemudian aku (Iblis) akan mendatangi mereka dari depan mereka, dari belakang mereka, dari kanan mereka, dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan dari mereka itu bersyukur.” (Surah al-A’raaf, 7: 17)
Dari keseluruhan manusia secara umumnya, jumlah mereka yang bersyukur amat-amatlah sedikit. Oleh itu kita perlu berusaha dengan sedaya-upaya kita dan sentiasa ingat agar kita termasuk dalam kelompok yang diberkahi tersebut walaupun sedikit lagi terasing. Iaitu kelompok orang-orang yang bersyukur. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“… Dan amat sedikit dari hamba-hamba-Ku yang bersyukur.” (Surah Saba’, 34: 13)
“… akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.” (Surah al-Baqarah, 2: 243)
Istidraj
Suatu nikmat yang datang juga boleh jadi sebagai satu bentuk ujian bagi seseorang. Sama ada dia beryukur atau kufur, sama ada dia redha atau merungut. Beruntunglah mereka yang bersyukur dan merasa qona’ah.
Sebahagian besar masyarakat atau kelompok manusia di negara-negara luar tertentu banyak diuji dengan kesusahan, kemelaratan, dan kemiskinan hidup. Tetapi kita di Malaysia secara umumnya diuji dengan kesenangan, kemudahan, dan kemewahan hidup. Semoga Allah menjadikan kita sebagai kelompok masyarakat yang bersyukur kepada-Nya.
Kalau sekiranya kita melihat diri kita ini terus-menerus mendapat nikmat dari Allah, tetapi dalam masa yang sama kita sentiasa bermaksiat kepada-Nya, maka ada sesuatu yang perlu kita renungkan. Berhati-hatilah dengannya. Takut-takut ia menjadi satu bentuk ujian dan istidraj (kesenangan yang memperdaya). Jangan biar kita hanyut dalam nikmat dan kesenangan tersebut tanpa mensyukurinya. Kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Maka ketika mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka – sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami siksa mereka dengan secukupnya, maka ketika itu mereka terdiam berputus-asa.” (Surah al-An’am, 6: 44)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا رَأَيْتَ اللهَ يُعْطِي الْعَبْدَ مِنَ الدُّنْيَا عَلَى مَعَاصِيهِ مَا يُحِبُّ، فَإِنَّمَا هُوَ اسْتِدْرَاجٌ
“Apabila kamu melihat Allah memberikan kurniaan dari kelebihan dunia yang disukai ke atas seseorang hamba yang bermaksiat kepada Allah, maka sebenarnya itu adalah istidraj. (Kemudian Rasulullah membacakan Surah al-An’am, 6: 44).” (Hadis Riwayat Ahmad, 28/547, no. 17311. Dinilai hasan oleh al-Hafiz al-‘Iraqi dan Syu’aib al-Arnauth)
Sebaliknya jika seseorang hamba itu memiliki kedudukan, kelebihan, atau nikmat dari sisi Allah lalu dia menjaganya dengan penuh rasa syukur kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, nescaya Allah akan tambahkan lagi bagi dirinya dengan sesuatu yang lebih baik berbanding apa yang sedia ada. Jika tidak di dunia, nescaya di akhirat. Tetapi sekiranya ia meremehkan sikap untuk bersyukur, maka Allah akan memperdayakannya.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Dan ingatlah ketika Tuhan-mu menyatakan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan tambahkan (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat tersebut), maka sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih.” (Surah Ibrahim, 14: 7)
Allah subhanahu wa Ta’ala juga berfirman:
“Sekiranya penduduk negeri-negeri tersebut beriman dan bertaqwa, sudah tentu Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami), maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Surah al-A’raaf, 7: 96)
Mensyukuri Nikmat
Cara mensyukuri nikmat boleh dibahagikan kepada tiga bentuk keadaan. Iaitu dengan hati, dengan lisan, dan dengan anggota badan (amalan fizikal). Mensyukuri dengan hati adalah dengan meneguhkan tauhid, keimanan, dan mengakui nikmat-nikmat tersebut datangnya dari Allah Subhanahu wa Ta’ala. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Dan apa jua nikmat yang ada pada kamu, maka dari Allah-lah ia datang, dan apabila kamu ditimpa oleh kemudharatan, maka hanya kepada-Nya-lah kamu meminta pertolongan.” (Surah an-Nahl, 16: 53)
Mensyukuri nikmat Allah dengan lisan adalah dengan sentiasa memperbanyakkan pujian serta mengingati-Nya (dengan zikir dan doa) di setiap keadaan sebagaimana yang disyari’atkan. Di antara pintu syukur melalui lisan adalah dengan ucapan hamdalah.
Manakala mensyukuri nikmat dengan anggota badan adalah dengan cara menggunakan anggota badan untuk amal-amal kebaikan serta mencari keredhaan Allah serta dengan tidak menggunakan nikmat-nikmat yang dimiliki untuk perkara-perkara yang dibenci oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Semoga kita mampu menjadi manusia yang paling bahagia dengan menjadikan nikmat-nikmat yang kita kecapi sebagai sarana mencari redha Allah Subhanahu wa Ta’ala. Iaitu dengan menjadikan setiap rezeki dan kelebihan yang diusahakan sebagai aset untuk mentauhidkan dan bersyukur kepada Allah. Setiap nikmat yang dikurniakan Allah kita jaga dengan cara mentaati dan melaksanakan perintah-Nya serta kita menjaganya dengan cara memeliharanya sebagaimana diperintahkan.
Sebaliknya semoga kita tidak menjadi manusia yang malang lagi mengkufuri nikmat-nikmat Allah dengan menggunakan kelebihan nikmat-nikmat tersebut untuk bermaksiat kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala sehingga mengundang kemurkaan-Nya.
Sifat syukur dan insaf dapat lahir antaranya dengan selalu melihat kesusahan dan kepayahan orang lain. Sebaliknya jangan terlalu asyik melihat kelebihan orang lain sehingga membuatkan diri merungut rasa kekurangan. Oleh itu di samping merasa syukur, ia perlu diiringi juga dengan sikap qona’ah, iaitu merasa cukup dengan apa yang kita miliki dan mengusahakannya sekadar kemampuan tanpa berlebih-lebihan mengejar apa yang di luar kemampuan.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda:
إِذَا نَظَرَ أَحَدُكُمْ إِلَى مَنْ فُضِّلَ عَلَيْهِ فِي الْمَالِ وَالْخَلْقِ فَلْيَنْظُرْ إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْهُ مِمَّنْ فُضِّلَ عَلَيْهِ
“Apabila salah seorang dari kamu memandang orang yang diberi kelebihan melebihi harta dan bentuk tubuhnya, hendaklah ia memandang orang yang lebih rendah darinya di mana ia diberi kelebihan berbanding orang tersebut.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2963)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
قَدْ أَفْلَحَ مَنْ أَسْلَمَ وَرُزِقَ كَفَافًا وَقَنَّعَهُ اللَّهُ بِمَا آتَاهُ
“Benar-benar beruntung seseorang yang masuk Islam, kemudian mendapat rezeki yang secukupnya dan Allah menganugerahkan pula kepadanya sifat qona’ah (merasa cukup dan redha) dengan rezeki yang Allah berikan kepadanya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1054)
Bersyukur Walau Sedikit
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda dari atas mimbar:
مَنْ لَمْ يَشْكُرِ الْقَلِيلَ، لَمْ يَشْكُرِ الْكَثِيرَ، وَمَنْ لَمْ يَشْكُرِ النَّاسَ، لَمْ يَشْكُرِ اللهَ. التَّحَدُّثُ بِنِعْمَةِ اللهِ شُكْرٌ، وَتَرْكُهَا كُفْرٌ، وَالْجَمَاعَةُ رَحْمَةٌ، وَالْفُرْقَةُ عَذَابٌ
“Siapa yang tidak mampu mensyukuri nikmat yang sedikit, maka ia tidak akan mampu mensyukuri nikmat yang banyak. Dan siapa yang tidak mampu berterima kasih kepada manusia, maka ia tidak akan mampu bersyukur kepada Allah. Membicarakan nikmat Allah adalah syukur, meninggalkannya adalah kufur. Hidup berjama’ah adalah rahmat, manakala perpecahan adalah azab.” (Majma’ az-Zawa’id, 5/392: Kata al-Haitsami, “Diriwayatkan oleh Ahmad, ath-Thabrani, dan al-Bazzar. Para perawi keduanya tsiqah.” Dinilai sahih oleh al-Albani. Lihat juga Tahqiq Musnad Ahmad oleh Syu’aib al-Arnauth)
Nikmat Keamanan dan Kemewahan
Harga dan nilai barangan sentiasa turun naik setiap hari. Tetapi taraf hidup masyarakat di negara kita umumnya jauh lebih baik berbanding 10 hingga 20 tahun lalu. Ini suatu yang wajib disyukuri. Kalau 15 tahun lalu di desa-desa, kanak-kanak ke sekolah rendah dan menengah dengan berbasikal meredah becak tanah merah, tetapi sekarang ramai yang sudah bergaya bermotorsikal ke sekolah dengan jalan berturap walaupun sebahagiannya tidak berlesen.
Di universiti pula rata-rata pelajarnya sudah berkereta, sehingga jalan-jalan dan tempat-tempat letak kenderaan Universiti penuh sesak. Inilah antara nikmat kemewahan yang kita kecapi walaupun dalam masa yang sama harga bahan api kenderaan melambung tinggi.
Ketika penulis di sekolah dulu, nikmat telefon bimbit memang tidak pernah dikecapi. Bahkan telefon bimbit termasuk sebahagian gadget mewah yang bukan sebarangan orang mampu memilikinya.
Tetapi hari ini, Allah menganugerahkan kemudahan telefon bimbit dengan harga yang jauh lebih murah dengan kualiti yang jauh lebih baik. Kalau dulu harganya mahal tetapi dengan skrin monochrome, tetapi hari ini harganya murah fungsinya pelbagai. Caj perkhidmatan yang dikenakan pun amat rendah berbanding dulu. Ruang lingkup telekomunikasi dan perhubungan menjadi lebih mudah dan pantas. Sehingga kanak-kanak di sekolah pun dibekalkan telefon bimbit oleh ibu atau bapa.
Taraf pendidikan di negara kita secara umumnya semakin meningkat. Lebih ramai mampu melanjutkan pelajaran. Peluang pekerjaan pula terbuka luas. Sama ada sebagai penjawat awam, di sektor swasta, mahupun bekerja sendiri.
Kalau sekitar 20 tahun lalu, orang-orang di kampung keluar menoreh getah dan memetik kelapa sawit dengan berbasikal atau motorsikal Honda Cup 70. Tetapi hari ini ramai di antara mereka telah keluar ke kebun dengan berkereta sambil mengecapi nikmat rumah besar yang penuh keselesaan.
Kemudahan untuk beribadah juga amat baik. Masjid-masjid tersergam indah. Umat Islam bebas mengamalkan agamanya. Bebas untuk bersolat, bebas untuk berpuasa, bebas untuk berhari-raya dan juga berdakwah. Cuma adakalanya mungkin disebabkan “masjid terlalu besar” dan luas, jumlah orang yang menunaikan solat di masjid nampak terlalu sedikit. Inilah di antara hasil keamanan yang ada di negara kita berbanding di negara-negara Islam lain yang sebahagiannya hendak menunaikan solat fardhu berjama’ah pun terancam nyawanya. Jadi, syukurilah nikmat masjid ini dengan memenuhinya di setiap kali tiba waktu solat.
Nikmat makanan di negara kita tidak lagi dapat dinafikan. Walaupun ramai yang mengeluh mengatakan banyak harga makanan meningkat tetapi hakikatnya umum mengetahui bahawa rakyat Malaysia tiada yang mati kerana kebuluran. Sebaliknya ramai yang mati kerana terlalu banyak makan. Buktinya, dalam hari-hari perayaan ini sahaja terlalu banyak undangan makan di rumah-rumah terbuka. Pelbagai menu dan juadah dihidang percuma.
Sehingga terlebihnya nikmat kemewahan makanan, ramai pula yang menghisap rokok sebaik selesai makan. Demikianlah hakikat kemewahan yang dikecapi di negara ini, sebahagiannya sampai terlupa mensyukurinya hingga terlajak melakukan kemungkaran menghisap rokok.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari setiap apa yang kamu ingini dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu bukan pada tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.” (Surah Ibrahim, 14: 34)
Sepatutnya, inilah antara nikmat-nikmat keamanan dan kemewahan yang perlu kita syukuri. Hargailah ia sebagai sarana untuk menuntut ilmu-ilmu yang syar’i dan mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan cara yang benar. Bukan sebagai alat untuk bermaksiat dan melakukan kekufuran.
Hamparkanlah sifat qona’ah dan tawakkal, serta buangkanlah jauh-jauh sikap suka merungut dan berkeluh-kesah. Renungilah kesusahan dan kesempitan orang lain, nescaya kita akan rasa sangat beruntung.
Semoga kita tidak menjadi orang yang hanya mengenal nikmat-nikmat tersebut setelah Allah menariknya kembali.
اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, no. 1522. An-Nasaa’i, no. 1303. Dinilai sahih oleh al-Albani)
رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
“Ya Tuhanku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu/bapaku dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai. Dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh.” (Surah an-Naml, 27: 19)
Wallahu a’lam.
disalin dari : blog ABU NUMAIR
Friday, May 11, 2012
Syair Menyentuh Qalbu
o
إذا ما قال لي ربي أما استحييت تعصينـي
وتخفى الذنب عن خلقى وبالعصيان تأتينى
jika Rabbku bertanya kepadaku : kenapa kamu tidak punya rasa malu berbuat maksiyat kepadaku,
o Dan engkau sembunyikan dosa-dosamu dari makhluq ciptaan-Ku dan engkau datang kepadaku dalam keadaan bermaksiyat kepada-KU
o
فكيف أجيب يا ويحى ومن ذا سوف يحمينى
أسلى النفس بالأمال من حين إلـى حيـني
maka bagaimana aku menjawabnya : alahkah celakanya aku, siapakah kiranya yang akan melindungiku ..
o Jiwaku selalu ditipu dengan angan-angan disepanjang waktu
وأنسى ما وراء الموت ماذا بعـد تكفينـى
كأنى قد ضمنت العيش ليس الموت يأتينـى
sehingga aku lalai tentang perkara yang akan terjadi setelah kematian dan setelah aku dikafani
o Seakan-akan aku akan hidup selamanya dan kematian tidak akan mendatangiku.
وجاءت سكرة الموت الشديدة من سيحمينى
نظرت إلى الوجوة أليس منهم من سيفدينى
ketika datang sakaratul maut yang menyakitkan aduhai siapakah kiranya yang dapat melindungiku
o Aku melihat wajah-wajah manusia ( berharap ) semoga mereka mau menolongku
o
سأسأل ما الذى قدمت فى دنيـاى ينجينـى
فكيف إجابتى من بعد ما فرطت فى دينـى
kemudian Rabbku bertanya : apa yang telah engkau persipakan di dunia yang dapat menyelamatkan mu ( dari siksaan-KU )
o Maka apa kah kiranya jawabku, setelah aku lalai dan lupa akan agamaku
ويا ويحى ألم أسمـع كـلام الله يدعونـى
ألم أسمع لما قد جاء فـى قـ و ياسيـني
sungguhnya celakalah diriku : bukankah aku telah mendengar seruan dan pangilan Rabbku
bukankah aku telah mendengarkan peringatan dan kisah dalam surat qaaf dan surat yasin.
ألم أسمع بيوم الحشر يوم الجمـع والديـن
ألم أسمع منادى الموت يدعونـى ينادينـى
bukankah aku telah mendengarkan kisah tentang hari kebangkitan, hari dikumpulkan dipadang maksyar dan hari pembalasan.
o bukankah aku telah mendengarkan malaikat pencabut nyawa yang memangil dan memperingatkanku
فيا ربـاه عبـد تائـب مـن ذا سيؤينـى
سوى رب غفـور واسـع للحـق يهدينـى
wahai rabb hamba ini bertaubat, karena kepada siapa lagi aku mengadu
o Selain kepadamu ya Rabb Yang Maha Luas Ampunannya dan Yang menunjukkan jalan kebenaran kepadaku
o
أتيت إليك فارحمنى وثقـل فـى موازينـى
وخفف فى جزائى أنت أرجى من يجازينى
o Aku datang kepada-MU wahai rabbku maka rahmatilah aku dan beratkanlah timbangan kebaikanku
o Dan ringankanlah balasan ( keburukanku) karena engkaulah dzat yang aku harapkan pahala ( dan surga-MU ) .
Dalam situsnya Dr. Muhammah Al audhiy
-----------------------------------------------------------
http://dr-m-elawadi.ahlamountada.com/t199-topic
disebutkan :
وهذه الأبيات لها قصة مع الإمام أحمد بن حنبل حيث جاء إليه شخص قال له يا إمام ما رأيك في الشعر، قال الإمام وأي شعر هذا، قال الرجل :
إذا ما قال لي ربي أما استحييت تعصيني
وتخفي الذنب عن خلقي وبالعصيان تأتيني
فأخذ الإمام يردد الأبيات ويبكي حتي أصبح له صوت كبكاء الأطفال حتى قال تلامذة الإمام كاد يهلك الإمام من كثرة البكاء .
Kisah syait bait ini sebagai berikut : ada seseorang datang kepada imam ahmad bin hambal, kemudian orang itu bertanya : wahai imam bagaimana pendapatmu mengenai syair ini? kemudian imam ahmad bertanya syair yang mana ? kemudian orang tsb menbacakanya, setelah mendengarnya imam Ahmad mengulang syair tersebut hingga menangis salah seorang muridnya berkata : hampir saja membuat imam ahamd pingsan dikarenakan banyaknya menangis ( wallahu a’lam )
Syair ini disalin dari http://abizecha.blogspot.com/2012/02/syair-muhasabah_06.html
Kenangkan Diri Ini
Bangun pagi dengan penuh kepenatan disebabkan tidur malam yang agak kelewatan. Setiap kali pulang ke rumah bagi menyambut cuti dari dahulu hingga ke malam tadi, diri ini sentiasa me'rai'kan kesongsangan fitrah yang Allah telah anugerahkan. Diri ini sering me'malam'kan waktu siangnya dek kerana meng'siang'kan waktu malamnya hanya semata-mata bersosial dengan rakan-rakannya. Ibu sentiasa menegur agar mengubah sikap dan ibu mengharapkan agar diri ini berubah daripada tabiat buruknya menjadi lebih baik. Tidak ada ibu yang mahukan anaknya terus dihanyutkan dengan kelalaian. Perubahan diri tidak akan berubah dengan sekelip mata, cuma manusia yang mengharapkan insan yang berada di depan mata mereka berubah dengan sekelip mata. Ini lah manusia.

Muhasabah diri supaya dapat membaiki kelemahan diri
Sejahat-jahat mana pun seseorang itu, paling kurang sekali dalam hidup, mereka pasti pernah mengidamkan agar diri mereka sekurang-kurangnya menjadi yang lebih baik dari yang semalam. Tujuan hati yang ikhlas untuk berubah pasti Allah tunjukkan jalan. Kita sering mengharapkan agar buah kebahagian sentiasa berkekalan tapi Allah lebih sayangkan kita. Dia akan menguji hambaNya dengan penuh ujian supaya hambaNya lebih menghargai buah kemanisan yang dianugerahiNya. Selama ini kita bersyukur kerana Allah memberi izin untuk kita berubah tapi tanpa kita sedari diri ini akan lama kelamaan akan hanyut sedikit demi sedikit . Di sangka ilmu dan hidayah yang dikurniakan mampu berkekalan tapi ujian yang diberikanNya mendahului segalanya.
Perjalanan hidup masih jauh, berusaha untuk mengapai cita-cita
Matlamat dan cita-cita yang hendak dicapai masih jauh perjalanannya. Muhasabah diri ini, lihat apa yang telah kita lakukan , apakah perubahan kita berkekalan. Kenanglah diri ini demi masa hadapan. Ingatlah bahawa Allah akan tunjuki diri ini jalan yang lurus dengan dimulai dengan niat yang ikhlas dan niat yang ikhlas mestilah digandingkan dengan usaha yang sentiasa mahukan petunjukNya. Kuatkan diri ini dengan berpegang teguh kepada Al-Quran dan As-Sunnah dan berpautlah dengan prinsip yang anda pegang seiring dengan tuntutan Allah.
Subscribe to:
Posts (Atom)
